SUAMIKU NOBURU WATAYA oleh NURUDDEAN

Cerpen ini dipetik dari buku Antologi Suamiku. Untuk pembelian buku ini, sila klik link ke webshop kami -> https://terfaktab.com/product/suamiku/


Mungkin aku patut namakannya Noboru Wataya. Ianya nama watak kucing yang hilang dalam buku Murakami. Aku mulanya bercadang untuk menamakannya Otsuka atau Kawamura tapi Noboru Wataya agak sesuai memandangkan nama suamiku bermula huruf N. Lagipun, memandangkan suamiku acap kali hilang di waktu siang, mungkin nama itu cocok dengannya. Atau aku patut namakannya Baron Humbert von Gikkigen. Miniatur kucing yang dihidupkan dari animasi Mimi o Sumaseba ke dalam Neko no Ongaeshi. Dia kacak, pakai sut dan topi. Tapi Baron adalah karakter antromorfis dan aku fikir ia tidak sesuai memandangkan suamiku tidak berdiri atau berjalan seperti manusia. Dia berjalan seperti kucing-kucing lainnya. Lagipun aku suka Noboru. Ia mudah disebut dan sedap didengar bukan?
Ini bukanlah metafora, jika kau bersangka begitu. Suamiku betul-betul seekor kucing. Maksud aku, dia menjelma menjadi seekor kucing bila siang dan semuanya bermula semasa aku sedang demam panas tiga hari lalu. Noboru, (mungkin aku patut mula memanggilnya Noboru mulai sekarang – semasa berada dalam wujud kucing) muncul di depanku menjinjing sebuah beg plastik farmasi yang berisi ubat-ubatan. Aku tidak tahu bagaimana dia berinteraksi dengan jurujual di farmasi tapi kita anggap saja dia mungkin membelinya semasa dia dalam wujud manusia – dan kemudian dalam perjalanan balik, digigit oleh seekor kucing mutan liar dan berubah menjadi seekor kucing. Ini adalah andaianku. Kerana sedikit pun dia tidak pernah menceritakan hal ini bahkan apabila malam – dia balik ke rumah dalam keadaan telanjang dan menggigil kesejukan; aku rasa aku tidak perlu bertanya apa-apa selain memeluknya kerana kasihan. Anehnya aku tidak berasa takut dan dia tidak pula menangis tentang hal ini.
Hari itu, selepas telan ubat, aku masih dalam keadaan lemah dan Noboru – aku belum tahu dia adalah suamiku waktu itu – sedang menjilat kakinya. Aku tidak terburu untuk menghalaunya atau mahu berfikir tentang siapa tuannya. Aku cuba bangun dan capai telefon bimbit yang tersimpan di bawah bantal dan mula mendail nombor suamiku. Namun gagal. Aku cuba berkali-kali namun panggilan tetap disambungkan ke peti simpanan suara. Akhirnya aku akur. Noboru perlahan-lahan menoleh ke arahku dan melompat ke atas katil. Kucing ini comel, fikirku. Jadi aku biarkan hinggalah dia bersuara, jangan terkejut, katanya, sambil menggoyangkan ekornya. “Aku suamimu.” Perkara terakhir yang aku ingat waktu itu adalah patung Maneki Neko yang terletak di meja kecil menghempap kepalaku. Aku terjelupuk dan pengsan.
Selepas aku sedar, aku sudah pun berada di atas katil, dan suamiku sedang tidur di sebelahku. Aku memeluknya dari belakang. Aku berasa selamat. Aku mahu kejutkannya dan bertanya tentang peristiwa petang tadi, namun dengkurnya semakin kuat kedengaran.
Esok paginya aku bangun jam tujuh pagi dan mendapati nota di atas meja beritahu sarapan sudah tersedia dan dia, dalam nota ringkas itu menyatakan, keluar untuk bersiar-siar. Aku bangun dan terus menuju ke meja makan tanpa gosok gigi. Aku kumur-kumur di sinki dapur dan minum soda dan kunyah croissant yang sudah sejuk.
Jadi, berikut adalah sesuatu yang mengejutkan, bukan kerana aku mendapat tahu suamiku adalah kucing kelabu yang muncul di rumahku semalam – kerana selepas dia keluar bersiar-siar hari itu; aku telah pun mempercayai dia benar-benar suamiku (atau metamorfosis suamiku) sewaktu dia balik – dalam wujud kucing duduk di sofa dan menukar saluran TV ke saluran kegemarannya, TLC. Bukan, bukan ini yang aku mahu ceritakan –kerana yang lebih mengejutkan aku adalah bagaimana, selepas aku menjenguk ke luar pintu, ada seekor kucing siam di luar sedang duduk murung kemudian berkata;
“Aku ingin berbincang dengannya, jika kau tidak keberatan.”
Aku terpana.
Namun aku tidak pengsan, seperti petang semalam. Mungkin kerana aku sudah mula berasa sedikit segar. Namun aku masih berasa seperti dalam khayal. Aku terdiam untuk beberapa minit. Kekok untuk memberi respon atau bertanya tentang apa yang berlaku, Noboru menjerit dari ruang tamu. “Sayang, jangan layan betina tu.” Aku menoleh ke arah suamiku, Noboru memusing-musing badannya ke kiri dan kanan di permukaan karpet sambil matanya tertancap pada kaca TV yang sedang memaparkan Anthony Bourdain makan sesuatu yang berlendir. Noboru sekali-sekala membuka mulutnya seperti kegelian atau teruja barangkali.
“Siapa namamu?” Akhirnya aku bersuara.
“Bagaimana kamu boleh berkata-kata?”
Aku cuba menghiraukan suara Noboru, aku masih merasa sedikit gusar walaupun aku mula menerima keadaan absurd ini. Soalanku tidak berjawab. Parasnya yang comel akhirnya membawa dia ke pangkuanku. Kemudian aku duduk bersama-sama Noboru di ruang tamu. Aku letakkan kucing tersebut di atas meja. Noboru tunjuk muka kelatnya dan membuka mulutnya luas-luas dan melompat ke riba ku.
“Muezza.” Akhirnya kucing Siam itu bersuara.
“Jadi boleh terangkan pada aku apa halnya, Muezza?” Aku usap pipinya.
“Aku sudi mendengarnya sekarang.”
Akhirnya Muezza bercerita tentang bagaimana Noboru lolos ke kawasan rumah tuannya, melalui pagar berlubang (yang ditutup dengan zink, tapi zink itu jatuh senget dan membuka laluan kecil untuk Noboru) dan mencuri ikan keli yang sepatutnya jadi makanan tengaharinya bersama anak-anak. Aku mula berasa kasihan dan mengusap lehernya yang putih gebu. Dia menggesel-gesel kepalanya, membalas rasa empatiku. Noboru masih diam membisu, mungkin rasa bersalah atau mungkin berasa jengkel dengan laporan yang tidak elok tentangnya.

*****

Esoknya aku turun kerja. Noboru sudah lenyap. Mungkin sudah keluar dan mencari rakan baharunya, Muezza. Selepas sesi berkenalan semalam, mereka mulai kelihatan mesra dan menonton TV bersama-sama. Mungkin Noboru sudah meminta maaf dan Muezza berasa senang dengan kata-kata manis suamiku. Aku sedikit pun tidak berasa cemburu. Aku bukan tidak faham perangai suamiku, jadi aku tidak terkejut jika kata-kata manisnya dibeli Muezza. Semalam selepas aku hidangkan Muezza sardin dan bungkuskan sedikit untuk anaknya—Noboru mengejarnya ke pintu, dan mengajaknya bersenam. Aku sedikit geli hati dengan keletah mereka. Tidak berakhir di situ, kemudian mereka bersembang lama dekat pintu, tanpa sedar hingga aku tertidur di ruang tamu. Apabila aku sedar, suamiku sudah kembali ke wujud manusia dan sedang telanjang di sampingku. Dalam kantuk yang masih bersisa, aku sempat berasa ghairah dan mengajak suamiku untuk melakukannya di situ. Namun suamiku kata dia perlu  mandi. Aku ketawa kecil, menahan nafsu yang membuak. Usai bersama, Noboru bercerita tentang Muezza. Suaminya hilang tanpa khabar dan tidak pernah lagi memberikan nafkah. Aku sedikit terhibur dan cuba bergurau,
“Bukankah semua kucing jantan begitu?” Suamiku ketawa.
Kemudian aku bertanya adakah Muezza pun sepertinya, asalnya manusia. Dia kata, tidak. Aku tanya bagaimana Muezza mampu berkata-kata sepertinya dan pertanyaan itu tidak dijawab. Aku ke dapur mengambil air kerana haus, kemudian barulah suamiku berkata
“Muezza sebenarnya, macam kucing biasa. Dia mampu berkomunikasi dengan awak bukan sebab kebolehannya, tetapi kebolehanmu.”
Dia kata, aku seperti Nakata dalam satu lagi buku Murakami. Atau seperti Haru dalam Neko no Ongaeshi yang aku ceritakan tadi. Namun patung Maneki Neko yang menghempap kepalaku yang telah mencetuskan kebolehan ini, katanya lagi.
“Tapi sebelum aku terjatuh dari katil, aku sudah pun dengar kau berkata kepadaku”
“Kerana aku adalah suamimu.”
Aku tidak bertanya apa-apa lagi. Aku berasa aku sedang berada di alam fantasi atau dalam dunia kucing, atau mungkin watak dalam tulisan Murakami. Di sana, aku mendapat idea untuk beri suamiku nama Noboru, nama yang aku selesa memanggilnya semasa dia berada dalam wujud kucing. Kebetulan-kebetulan ini sangat mendebarkan, mungkin ini adalah takdir atau sekarang aku sedang berada dalam helaian-helaian manuskrip, seperti aku katakan tadi. Dia sambung cerita tentang Muezza, yang digambarkannya cukup sempurna. Sejak dia dapat sumpahan ini, katanya, akhirnya dia telah menemukan kucing yang cekal. Aku sebenarnya tidak pasti adakah dia cuba berempati, atau sudah jatuh cinta – kerana kecekalan bagi aku bukanlah sesuatu yang perlu dikagumi. Aku tidak sedar selepas itu, kerana kantuk sudah pun memuatkan bebannya ke atas kelopak mataku.

*****

Di tempat kerja, aku tidak banyak bercakap. Editor yang tidak pernah putus asa ke meja ku mengingatkan tentang deadline, langsung tidak mencetuskan apa-apa padaku. Biasanya aku akan protes dengan melayari Youtube dan menonton seberapa banyak video yang dimuatnaik oleh Cinemasins. Sebaliknya, aku hanya angguk dan fikiranku menerawang, mengingati suamiku. Entah apa dilakukannya sekarang, fikirku.
Petangnya sebelum balik, editorku datang semula dan mengingatkan aku pula pada temujanji untuk berjumpa dengan Ainul, seorang publisher indie yang mahu ditemuramah. Aku hanya menjawab, ya aku sudah atur pertemuan dengannya. Aku tidak berasa itu menjadi masalah kerana Ainul, sudah lama aku kenali dan dia baik denganku, bahkan tinggal beberapa blok di kejiranan. Aku tahu, editorku sekadar mahu mengingatkan yang aku tidak punya alasan untuk membatalkan temuramah ini. Pengurus sudah bising dan mahukan temuramah dengan beliau menjadi tajuk utama untuk keluaran bulan hadapan.
Aku tiba di rumah pukul 7:40 PM. Trafik sesak, dan aku menyesal singgah di kedai serbaneka untuk beli Friskies. Mujur aku sempat telefon suamiku (selepas pasti dia sudah bertukar kepada wujud manusia) untuk rendam mi dan lembutkan daging. Dia agak tergesa-gesa untuk menutup talian. Sampai di rumah, selepas parkir kereta aku lihat Muezza sedang berlingkar dalam pasu bunga. Kepalanya terangkat melihat ke arahku. Mungkin terjaga oleh bunyi enjin kereta. Aku senyum dan dia kembali bermalas-malasan. Suamiku keluar bawa makanan dan ajak Muezza makan. Muezza bangun keluar dari pasu dan mendongak manja. Aku tidak nafikan, aku mula merasa cemburu. Ah, cemburu kepada seekor kucing mungkin adalah perkara terakhir yang aku harus fikirkan dalam berhubungan namun begitu aku tidak dapat nafikan yang pengalaman ini agak janggal dan menyebalkan.
Selepas siap mandi dan salin pakaian, aku masak dan siapkan hidangan. Suamiku masih di luar dan aku mula berasa tidak dipedulikan. Setelah beberapa minit dia datang dukung Muezza. Aku cuba mengawal perasaanku.
“Abang, dia ada rumah. Anak-anaknya perlukan dia.”
Mata Muezza yang bewarna biru tidak berkerdip memandangku.
“Dia kesejukan di luar, malam ini dia nak tidur kat sini.”
“Harap awak tidak kisah”
Muezza pula menyambung bicara. Ekornya menari-nari di bahu suamiku.
“Kau tak risau ke dengan anak-anak kau?”
“Aku sudah pergi tengok tadi dan bawa sisa croissant beberapa hari lepas, mereka suka.”
Aku kehabisan kata-kata dan mengambil keputusan untuk memasak. Biasanya suamiku akan jadi pembantu, potong bawang atau tumbuk cili. Tapi sekarang dia ralit bersama Muezza di ruang tamu menonton rancangan memasak yang dikendalikan Amy Mastura. Usai masak aku panggil mereka makan, namun seleraku jadi padam selepas suamiku turut angkat Muezza ke meja makan, dan menyuapnya. Seperti pasangan kekasih.
“Dia kan dah makan tadi,” kataku.
Suamiku tidak acuh. Aku terus naik atas dan hempas pintu. Entah kenapa fikiranku agak celaru sekarang. Aku sukakan Muezza, dia sangat comel. Namun aku dapat rasakan Muezza seperti sengaja mahu menawan hati suamiku. Suamiku pula seperti menerima tepukan itu. Yang menyedihkan, walaupun dalam wujud manusia – dia seperti masih menjiwai perasaannya semasa menjadi seekor kucing. Aku percaya dia tak perlu menjelma menjadi seekor kucing untuk aku teka perasaannya.
Dalam keadaan yang kekok sekarang ini aku merasakan dirinya – tidak ubah seperti seorang pesakit zoofilia. Babak-babak yang jijik terpapar dari dalam kotak fikiranku membuatkan aku bertambah gelisah. Aku menangis sepuas hati sehingga tertidur.

*****

Sabtu pagi aku telefon Ainul untuk mengingatkannya tentang temujanji kami pada pukul 12:00 PM. Jam tunjuk pukul lapan, masih terlalu awal. Noboru dan Muezza bermain di ruang tamu. TV pasang rancangan DC Cupcakes. Aku ikut serta cuba melupakan hal semalam.
“Sudah sarapan?”
Aku cuba berbasa-basi. Noboru angguk dan Muezza tersenyum kelat. Mereka kemudian sambung berguling-guling di atas karpet. Sekali sekala Noboru cakar karpet dan Muezza menerkamnya dan mereka berpelukan. Aku kembali rimas. Jadi aku ke bilik baca buku dan cuba membunuh masa. Pukul 11:00 AM aku keluar selepas tabur Friskies dalam bekas plastik kuih raya tahun lepas.
Aku tiba dahulu sebelum Ainul, namun tidak lama aku menunggunya. Selepas membuat pesanan dan beberapa minit perbualan terarah kepada cuaca yang panas dan filem terbaharu yang tengah ditayangkan, aku keluarkan perakam audio dan mula mengendalikan soalan secara profesional. Ainul amat mengkagumkan. Semua soalan yang diajukan tidak mengambil masa lama untuk dia jawab bahkan ianya sampai kepada mauduk dengan solusi yang jelas. Contohnya pandangan orang sastera atau media arus perdana tentang penerbitan karya-karya indie yang sering dilabel sekadar melepas batuk di tangga – Ainul kata keperluan membaca tidak seharusnya ada had, sastera atau tidak bahasa yang digunakan ia berbalik kepada usaha untuk membudayakan minat membaca. Pengkritik atau celik sastera tidak akan mati dengan adanya buku-buku indie yang dilabel tidak cukup sastera. Kenapa harus ada hierarki? Malah novel-novel cinta arus perdana dibiarkan pula sewenang-wenangnya menggula-gulakan remaja dengan fantasi cinta tipikal yang kononnya punya moral.
“Penulisan tidak perlu ada limitasi moral,” katanya lagi.
Aku fikir aku bersetuju tentang itu. Usai temuramah selama hampir dua jam, Ainul mengajak aku menonton filem yang kami bualkan tadi, Inherent Vice. Aku lihat jam baru pukul 2:17 PM – aku tidak menolak kerana masih terlalu awal dan aku tidak tahu hendak buat apa, lagipun, mengingatkan suamiku – Noboru dan Muezza di rumah, aku berasa tertekan. Dalam perjalanan ke panggung wayang, aku sempat bertanya kalau-kalau Ainul punya kucing. Dia kata, ya, tapi sudah hilang sejak beberapa bulan yang lalu.
“Tapi, aku bercadang nak ambil satu lagi. Jiran offer baru-baru ni tapi aku sibuk sangat.”
“Oh ya?”
“Ya, ada tiga ekor umur dah 3 bulan, kalau kau nak aku boleh tanyakan. Jiran tu kata tak larat nak pelihara kucing banyak-banyak.”
Aku cuma menggelengkan kepala dan kata, tidak, aku sekadar bertanya. Sebetulnya aku mahu bertanya kalau-kalau dia pernah mengalami kejadian aneh, seperti aku, mampu berbicara dengan kucing – atau pernah tahu, dan dengar mitos manusia menjelma menjadi kucing. Tapi aku batalkan niat itu.
Usai tengok wayang yang berdurasi hampir dua setengah jam, kami ke kedai buku dan Ainul sempat tunjuk buku himpunan cerpen yang tajuknya agak melucukan; Antologi Suamiku. Kami tertawa. Aku belek dan kata, ini perang yang bagus untuk arus perdana. Ia mungkin mesej sinis yang bersifat parodi untuk penerbit novel dengan lambakan tajuk yang dimulai dengan Suamiku. Ainul belek kemudian ambil dua, katanya dia belanja aku satu.
Sekembalinya aku di rumah, pukul 6:03 PM, aku lihat ada kotak besar bekas diapers di luar. Ada tiga ekor anak kucing sedang tidur secomel dunia, di dalamnya. Aku fikir, ini anak Muezza. Noboru duduk termenung di depan TV. Matanya sekali-sekala terpejam seperti sedang menikmati suasana paling indah dalam hidupnya. Muezza yang duduk di sebelahnya sedang menjilat-jilat tangannya, mungkin kekenyangan. Dia tersentak memandangku sewaktu aku gantung kunci dekat suis. Lalu dia ikut duduk dengan postur yang sama dengan Muezza, dengan pandangan dihalakan ke arah TV. Mungkin dia anggar aku akan marah dengan kehadiran anak-anaknya yang berada di luar, atau mungkin berasa malu dengan tindakannya sebentar tadi. Aku kalih pandanganku dan cuba berdehem agar Noboru perasan ketibaanku.
Noboru menoleh. Aku ke sofa dan duduk bersama-sama mereka sebelum Muezza berlari anak ke luar, masuk ke dalam kotak bekas diapers. Aku menggeleng, jengkel.
Pita video berserakan. Noboru menyuruh aku memasang DVD muzikal David Mallet, Cats. Sebetulnya aku lebih menyukai versi Broadway asal arahan Andrew Lloyd Webber. Grizabella bagiku sesuai untuk Betty Buckley bahkan suaranya yang lantang seperti diciptakan untuk lagu Memory yang popular itu. Noboru kata,
“Aku suka Elaine Paige.” Seperti tahu apa sedang bermain di fikiranku.
Setelah masukkan DVD ke alat pemain, kami pun menontonnya sehingga tanpa sempat aku sedar dia sudah pun berada di sisiku kembali kepada jasad tanpa seurat benang. Dia kata dia telah jatuh cinta dengan Muezza. Aku tidak pasti kenapa dia menunggu untuk menjelma dalam wujud manusia untuk berterus-terang. Mungkin, dia mahu aku tahu yang dia bersungguh-sungguh atau dia selesa untuk meluahkannya dalam keadaan begitu. Namun aku tetap memeluknya dan tetap mahu merasai kehangatan tubuhnya.
Memory / All alone in the moonlight / I can smile at the old days / I was beautiful then / I remember a time I knew what happiness was / Let the memory live again

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara Memikat Amoi (Jika Kau Seorang Lelaki Melayu)

Lelaki Suka Pandang Tetek Perempuan?

pengalaman bercinta dengan lelaki melayu.