Wanita Tua Di Balik Jeriji

"Hei!" jeritnya pagi itu. Aku jenguk ke luar tingkap dapur, melihat kelibat seorang wanita rambut keriting. Anak perempuannya yang kecil datang menghadap. Oh, dia bukan panggil aku, walaupun tingkap dapur aku berhadapan dengan tingkap dapur dia.

Tiba-tiba wanita itu mula menaikkan suara. Menjerit-jerit. Memaki-maki. Si kecil hanya tunduk. Aku perlahan-lahan selesai bersihkan pinggan di tangan lalu berundur ke belakang. Aku meninggalkan dapur dan minum kopi di ruang tamu, dengan harapan suaranya hanya sayup-sayup didengari di ruang hadapan ini. 

Sumber

Begitulah rutin aku hari-hari. Kalau aku bertembung dengannya semasa basuh pinggan atau cuci tangan, aku cepat-cepat akan berundur. Kerana mesti aku akan mendengar suaranya memaki anak-anaknya, serta suaminya. Tengking dengan suara yang tinggi. Yang memeritkan hati aku, tiada siapa pun yang melawan. Anak remaja pernah menjawab sepatah, kemudian dihambur semula dengan kata-kata berdesibel seratus dua puluh.

Ada suatu hari -- semasa makan malam -- aku lupa tutup tingkap dapur. Dan dia pula sedang dirasuk amarah yang gila. Maka dari meja makan itu, suaranya cukup kuat untuk aku dan keluargaku mendengar jeritan amarahnya. Tak berhenti-henti. Makin lama makin tinggi biarpun tak ada yang melawan. Aku dan suami tunduk makan. Langsung tak bersuara. Selesai amarahnya (mungkin ada dalam lima minit makian tak berhenti) suamiku lalu berkata,

"Kenapalah makcik bercakap dengan anak-anak dia macam tu. Kalau anak dia besar nanti, dia takkan balik kampung punya, baru padan muka makcik tu."

Aku sambung makan, tanpa bersuara.

Aku sebenarnya sudah tinggal di sini lebih dua dekad dengan ibu bapa aku. Setelah ibu bapa aku pindah ke daerah lain dan aku pun berkahwin, aku pula menjadi pemastautin di rumah lama ini. Tapi seiingat aku, tidak pernah aku mendengar jeritan dan maki hamun dari rumah belakang semasa zaman kanak-kanak dulu. Apa yang berubah?

Sumber gambar
Satu petang, aku melihat dia mengelap bahagian jeriji belakang rumah. Aku perhati dia, terjungkit-jungkit mencapai jeriji luar. Jeriji dawai mata punai yang menghadap lorong belakang itu, tiada siapapun dapat lihat kebersihannya, mungkin, kecuali, aku seorang. Dapur rumah aku sahaja yang betul-betul selari menghadap dia.  

Kemudian aku terperasan akan keadaan rumahnya. Dapurnya, bersih tersusun. Pinggan pun sentiasa berbaris selari lurus di rak. Makanan, biarpun banyak atas pantri, berbaris seperti askar sedang rollcall.  Bilik sebelah dapur , yang kelihatan seperti bilik anak remaja, turut kemas berseri. Poster di dinding pun tersusun selari. Tak ada baju tersepuk tepi katil atau seluar dalam di atas lantai.

Kini aku faham - dua puluh tahun dia tinggal di situ, menjadi pengurus keluarga, menghadap rutin harian yang sama dalam rumah empat bilik tiga tandas - akhirnya dia menjadi penat. Dia menjadi lelah. Mungkin dulu dia wanita superwoman, yang buat segalanya tanpa merungut hanya atas nama cinta dan kasih sayang kepada anak dan suami, namun selepas dua puluh tahun, cinta itu terhakis dan yang tinggal hanyalah lapisan akhir, lapisan hati yang nipis dan terluka. Sebab itu dulu aku tak pernah dengar dia menjerit, kini ia menjadi hamburan tiap hari.

Apa yang aku tahu, biarpun kasih sayang itu ada, rasa cinta tu datang dan pergi, macam ombak. Kadang ia surut sebentar, digantikan dengan tanggungjawab yang menggunung setiap hari. Atau bencana (salah faham) yang sekali-sekala muncul. Tapi biasanya ia akan digantikan semula -- andai ada usaha dari kedua belah pihak.

Orang kata cinta tu unlimited--tapi bagi aku, limited jugak. Macam mesin ATM, kalau tiap minit orang beratur minta keluar duit, lama-lama habis juga. Kalau tak ada brader tukang isi semula datang, maka kosonglah ATM tu tidak dapat digunakan.

Aku harap, suami wanita belakang rumah itu faham, di sebalik "harimau" yang menjerit dan menghamburnya tiap malam, ada seorang kecil yang terabai dan menginginkan jiwanya yang kosong itu diisi.

sumber

P.S.
Aku teringat dulu aku pernah membaca seorang anak gadis menulis, aku tak mahu jadi suami isteri yang sudah lama berkahwin hingga kasih sayangnya telah tiada dan hanya bertikam lidah sepanjang masa. Anak gadis itu sudahpun menjadi isteri orang beberapa tahun lepas dan aku wonder, samada dia masih memikirkan perkara yang sama sekarang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara Hendak Contact Balik EX Lama.

Cara Memikat Amoi (Jika Kau Seorang Lelaki Melayu)

Perempuan, Perhubungan dan Seksual.